Thursday, May 21, 2020

TINGKATAN 2 - 2KMT3/2A1

Assalamualaikum..

Naik tingkatan 2 perangai aku menjadi-jadi. Aku & Ropi berkawan baik. Mamat menjadi sahabat baik aku. Walaupun berlainan kelas hubungan kami tetap akrab. Sejak berkawan dengan Ropi hubungan aku dengan Ummu Aiman tidak semesra dahulu. Hingga satu hari dia katakan jika aku masih berperangai liar, dia akan putuskan hubungan dengan aku. Aku sedih dengan kata-katanya itu.

Masa itu aku juga turut berkenan dengan seorang budak kelas aku. Dia tidaklah secantik Ummu Aiman tetapi cukup manis pada pandangan aku. Noraini namanya. Apa yang menarik pada pandangan aku, dia ini berkening lebat & bermata bulat. Kulitnya sawo matang & mukanya berbulu halus. Namun aku tahankan perasaan sebab aku tetap setia dengan Ummu Aiman.

Satu hari sedang aku menuju ke kantin bersama kawan-kawan, datang seorang pengawas lelaki di hadapan kami mengajak aku bertumbuk. Aku tidak endahkan ajakan dia. Dia bengang dengan tolakan aku. Lalu dia jawab jika aku tolak dia ambil Ummu Aiman jadikan awek dia. Aku jadi marah sebaik mendengar nama Ummu Aiman. Rizal, Pendi, Mat Bear, Latif, Marzuki, Arif, Hafiz & Kamal memandang aku. Aku cakap boleh tetapi apa ganjarannya. Dia jawab dia tidak akan kacau Ummu Aiman lagi.

Aku setuju. Esok hari aku bertemu di tempat letak basikal berhampiran makmal sekolah. Dia buka baju pengawas & mula menyerang. Aku tidak sempat letak beg dia menyerang bertalu-talu hingga aku rebah. Belum sempat aku bangun lima enam orang pengawas lagi datang menyerang. Merengkok aku diserang hingga aku keletihan tidak berdaya. Dalam kesakitan aku lihat mereka semua lari tinggalkan aku seorang. 

Mujurlah seorang sahabat aku yang juga seorang pengawas datang memapahku bangun. Terima kasih Kamal. Budi baik & jasamu hanya Allah mampu membalasnya. Aku kemudian dibawa ke bangku berhampiran untuk rehatkan diri. Kamal beritahu dia ada dengar pasal rancangan ini tetapi dia tidak sangka orang yang menjadi mangsa itu adalah aku. Pertolongan Kamal itu pun sudah tidak mampu aku balas. Aku tidak berdendam dengan Kamal biar pun dia seorang pengawas sekolah. Dia seorang yang sangat baik hati & lemah lembut. Mukanya penuh ketenangan tanda orang beriman.

Keesokan harinya guru disiplin memanggil aku. Aku dituduh mencederakan pengawas sekolah & sememangnya itu kesalahan yang berat bagi pihak sekolah. Aku cuba pertahankan diri namun sia-sia. Boleh sangat aku sebut nama Kamal tetapi keselamatan dia pula terancam. Akhirnya aku terpaksa mengaku kesalahan itu. Guru disiplin akhirnya menelefon ayah aku menyatakan kes itu. Keluar dari bilik disiplin aku bertembung dengan Ummu Aiman.

Dia menangis merah mata. Kamal sudah menceritakan semua padanya. Aku diam tidak berkata sepatah pun. Hati aku remuk. Aku terus menuju ke kelas. Kawan-kawan yang melihat tidak menegur sepatah apa pun. Aku diam hingga tamat waktu sekolah. Hingga sampai ke rumah pun aku diam.

Kemuncaknya ayah aku membuat keputusan menghantar aku balik bersekolah di kampung. Tinggal bersama mok(nenek) di kampung. Aku pasrah. Lagi lama aku tinggal sini semakin rosaklah perangai aku. Setelah berbincang kedua belah pihak maka bulan Ogos 1999 aku pun berhijrah ke kampung. Tinggallah aku bersama Mok yang garang tetapi sangat penyayang. Di sekolah aku duduk di kelas baharu kelas 2A1 namanya.

Rezeki aku barangkali tidak lama selepas masuk sekolah baharu, aku dilantik sebagai pengawas sekolah. Aku yang masih dalam proses menyesuaikan diri cuba melupakan kenangan di sekolah lama. Perit sungguh aku rasa dengan keadaan hidup yang serba kurang di kampung. Namun kasih sayang Mok yang tidak pernah jemu menjaga & mendidik aku membuatkan aku berjaya hidup sebagai anak kampung. Nanti aku ceritakan lagi kisah hidup aku bersekolah di kampung. Banyak sangat kenangan manis. Di kampung inilah aku mula belajar agama. Di sinilah aku mula mengenal diri. Mula mengenal hakikat kehidupan yang sebenar. Sungguh aku bersyukur kepadaMu Ya Allah!

A.B.K
28 Ramadhan 1441H

TINGKATAN 1 - 1KMT4

Assalamualaikum..

Masuk ke alam remaja merupakan satu perubahan yang sangat drastik bagi sesiapa pun di dunia ini. Inilah perubahan yang aku maksudkan. Bagi diri aku alam remaja atau alam sekolah menengah merupakan alam yang sangat menyeronokkan.

Suasana baharu di sekolah menengah menyaksikan persekitaran yang amat berbeza. Dengan sekolahnya berbeza, kawan pun berbeza. Ringkasnya sangat berbeza semuanya.

Naik sekolah menengah ini perangai pun berbeza. Dahulu tengok perempuan macam batang pisang. Sekarang pantang nampak terus melekat. Tambahan di sekolah aku ini ramai kawan dari bangsa cina. Yang perempuannya fuh mengancam. Pakai baju skirt biru muda nampak betis. Ehem melarat dah aku ini.

Baik, pertama kawan-kawan. Di dalam kelas aku kenal Awaludin. Sahabat baik aku dia ini. Seorang lagi awek cina Lim Ee Ling namanya. Aku cukup minat dengan dia. Kulit merah mata sepet rambut ekor kuda. Kadang pakai cermin mata. Minat kami sama iaitu melukis. Dia suka bertanya aku apa pendapat aku setiap kali dia siap melukis. Biasalah orang kita minat cantik memanjanglah lukisan dia.

Satu kelemahan dia kurang mahir Bahasa Inggeris. Akulah selalunya jadi kamus bergerak dia. Tetapi aku tidak kisah dengan keadaan itu. Yang penting aku bahagia tengok dia gembira. Bahagia tidak lama apabila aku mendapat amaran dari ayahnya yang bekerja di sebuah kedai cd di pinggir bandar tepi sungai. Sedih hati aku apakan daya kami berlainan bangsa & agama.

Hidup mesti diteruskan. Selesai ujian pertengahan tahun, keputusan aku boleh tahan. Naik kelas dari 1KMT4 ke 1KMT3. Sedih ingatkan buah hati ditinggalkan.

Kerana kesedihan inilah aku kenal rokok. Setiap kali balik dari sekolah atau waktu rehat pasti aku bersama kawan hilang mencari rokok. Zaman itu rokok Marlboro kotak lembut menjadi amalan kesihatan setiap hari. Dunhill mana pandang masa itu. Beli 2 batang dah cukup buat bekal. Kadang-kadang jadi ejen kawan minta beli aku jual RM0.50 sen. Mewah terasa. Apabila dah nampak jadi duit aku kumpul duit beli sekotak. Dan jugalah jadi ejen sebelum ditangkap guru disiplin. Aku dirotan & diberi amaran gantung sekolah. Insaf sekejap. Namun amalan merokok tetap diteruskan dengan istiqomah.

Hobi baharu aku selain merokok adalah meraba perempuan. Jahatnya aku dahulu. Habis bontot budak perempuan aku raba. Tidak kira cina ke melayu ke habis aku bedal. Kemuncaknya aku ditumbuk berjemaah di dalam tandas sekolah kerana tersalah raba bontot awek seorang samseng di sekolah. Berdarah hidung pecah mulut. Kena panggil lagi dengan guru disiplin. Teruk dah aku kali ini kena gantung sekolah. Namun Allah masih sayangkan aku. Guru disiplin bagi peluang aku berubah.

Reda sekejap pasal raba bontot perempuan. Ada jugak timbul gelora nafsu namun aku tahankan. Hingga satu hari aku melihat seorang gadis jelita yang melintas di hadapan kelas aku. Tidak aku sangka dia masuk ke dalam kelas aku semata-mata kerana ingin berjumpa aku. Dia tanya siapa nama ***. Aku jawab ye saya. Cikgu **** tunggu di bilik disiplin. Mampus!

Budak perempuan ini pengawas sekolah. Ummu Aiman namanya. Putih bersih kulitnya. Tahi lalat di tepi hidungnya bertambah jelita aku memandangnya. Aku tanya dia kenapa cikgu panggil saya. Saya tidak buat salah pun. Dia jawab mana saya tahu dah cikgu suruh panggilkan. Oh begitu rupanya. Aku tanya apa namanya dia tunjuk tag nama di dadanya. Ummu Aiman cantik nama tu. Yeke katanya. Yelah sama cantik dengan tuan nama padan sangat-sangat. Adoi dia senyum selepas aku cakap macam tu. Bayangkanlah jalan bersebelahan kami berdua je. Tidakkah bahagia namanya tu?

Selepas pertemuan kali pertama itu aku teringatkan dia setiap masa. Rindunya hendak tengok muka dia. Hinggakan pantang aku ternampak pengawas sekolah yang perempuan pasti aku sangkakan dia. Teruk angau masa itu. Boleh dikatakan aku belajar berubah untuk menjadi orang baik kerana dia.

Boleh dikatakan dialah sumber inspirasi aku pada masa itu. Aku bercita-cita mahu mengahwininya sebaik tamat sekolah. Namun satu hari segala impian aku berkecai. Rupanya hubungan kami selama ini ada yang dengki.

Satu petang di dalam kelas sementara menantikan waktu beratur di dewan, aku didatangi seorang samseng ini. Adi Black namanya. Adi Black ini datang memberi amaran kepada aku jangan lagi berhubung dengan Ummu Aiman. Katanya dia ini bakal bertunang dengan Ummu. Adoi terkejut aku. Dia cakap sekali lagi dia nampak aku ke kantin rehat bersama dia akan pukul aku berjemaah.

Aku terganggu dengan situasi itu. Keliru, bengang pun ada. Satu hari aku mengajak Ummu berjumpa. Dia tersenyum seperti biasa. Namun bila dilihat aku diam sahaja dia bertanya apa masalah aku. Aku ceritakan perihal Adi Black. Berderai dia ketawa mendengar cerita aku. Oh bahagianya aku melihat senyum ketawamu oh Ummu Aiman. Dia cakap Adi Black itu dah lama cuba mengurat dia tetapi langsung tidak dilayannya. Dia tidak suka cara Adi Black yang suka memaksa-maksa. Aku kembali bersemangat setelah mendengar penjelasan itu. Entah macam mana seorang konco Adi Black nampak aku berbual dengan Ummu Aiman.

Petang selepas balik sekolah aku lihat Adi Black datang meluru ke arah aku. Dia siap angkat penumbuk. Aku cakap kalau betul dia anak jantan kita selesai satu lawan satu. Dia setuju. Setelah menetapkan hari pergaduhan, kami pun balik. Keesokan paginya aku pergi bertemu Ropi. Di sekolah pada masa itu nama Ropi merupakan satu nama besar. Dialah taiko samseng. Semua samseng takut padanya kerana dia merupakan anak geng pasar. Bila sebut sahaja geng pasar semua orang kecut.

Aku pergi ke kelas Ropi tetapi dihalang. Tiba-tiba ada seorang budak lelaki datang. Mamat namanya. Orangnya hensem gaya Val Kilmer. Dia tanya apa hal cari Ropi. Aku cakap ada hal peribadi. Mamat cakap boleh bagitahu dia. Mamat ini kiranya orang kanan Ropi masa itu. Aku ceritakan pasal Adi Black pada Mamat. Tetapi Mamat cakap ada bayarannya. Aku tanya berapa? Mamat jawab RM2.50. Aku cakap aku ada 50 sen sahaja. Dia kata bagi dahulu 50 sen. Esok bayar baki. Esoknya aku bayar seringgit sebab baki aku buat belanja. Cukup 3 hari selesai bayaran aku. Hari keempat Ropi datang jumpa aku. Teruja aku ikon samseng sekolah datang jumpa aku secara personal. Dia tanya hendak dia settle atau tolong separuh? Aku jawab biar aku belasah Adi Black dahulu baharu dia masuk. Ok dia setuju. Aku tersenyum puas hati.

Tiba hari dijanjikan. Waktu tamat sekolah petang itu aku nampak ramai dah geng-geng samseng menunggu. Macam ada perlawanan besar. Aku nampak Adi Black sudah berada di situ. Aku intai Ropi. Tidak nampak. Nampak sahaja kelibat aku, Adi Black datang menyerbu. Aku dengan tidak bertangguh menendang perut dia. Sebaik dia jatuh aku hempuk dengna beg sekolah aku. Di dalamnya ada batu bata yang aku isi awal-awal lagi. Aku tidak bagi peluang. Aku bantai dia cukup-cukup. Sedar tidak sedar orang pegang aku. Rupanya Ropi datang mendamaikan keadaanb. Mamat yang pegang aku. Adi Black nampaknya tidak puas hati. Namun setelah ditampar oleh Ropi dia terdiam. Hebat sungguh Ropi ini. Terima kasih Ropi. Terima kasih Mamat!

Keesokan harinya awal petang lagi aku nampak Ummu Aiman datang meluru. Dia tanya kenapa aku bertumbuk dengan Adi Black. Aku diam sahaja mendengar leteran dia. Habis dia bercakap aku jawab sebab saya sayangkan awak lebih dari sesiapa di dunia ini. Maafkan saya. Dia terdiam lalu tersenyum. Sakit bekas bertumbuk kelmarin terasa hilang. Adoi Ummu Aiman.

Petang itu masa balik dari sekolah aku nampak Adi Black. Aku tunggu sahaja jika dia menyerang aku lawan balik. Namun dia berlalu tanpa berpaling. Aku senyum lalu berjalan keluar ke pintu pagar sekolah.

A.B.K
28 Ramadhan 1441H

Monday, May 18, 2020

FASA 2 - SEKOLAH MENENGAH

Tamat sudah Fasa 1 yang mengandungi kisah aku sewaktu di sekolah rendah.

Seterusnya aku akan beralih ke Fasa 2 yang mana akan berkisar pengalaman aku sewaktu di sekolah menengah. Untuk rekod aku berpindah sekolah dari daerah K di bandar menuju ke daerah B di kampung. Setahun tingkatan 1 di bandar. Tingkatan 2 aku berpindah ke kampung.

Hijrah yang banyak memberikan pengajaran kepada aku. Selepas aku berpindah sekolah ini aku berubah sepenuhnya. Sama-samalah kita halusi..

A.B.K
26 Ramadhan 1441H

DARJAH 6 - 6 KENANGA

Assalamualaikum..

Tahun ini merupakan tahun terakhir aku di sekolah ini. Tahun 1997 yang banyak menyaksikan perubahan dalam hidupku.

Tahun ini guru kelas kami bernama Puan Fatimah Wahid. Guru yang sempoi. Berkulit hitam manis bertudung labuh. Penampilan yang cukup menyejukkan mata.

Ketua kelas Amirul. Penolong Kazziman. Tahun ini ramai sahabat baru masuk ke kelas kami. Antaranya si kembar Emy & Ery. Paling membuatkan aku gembira insan yang amat aku minati si Wahi datang kembali setelah setahun di tempat orang. Bagaikan bermimpi melihat wajahnya yang tidak pernah aku lupakan. Semakin lawa dengan tubuh badan tinggi lampai kulit putih semerbak. Aku benar-benar jatuh cinta kali ini. Oh Wahi..

Ramai sahabat yang masih aku ingati di dalam kelas ini. Antaranya Syafiq, Edizan, Hasbullah, Saifullah, Saidin, Aizat, Emy, Ery, Hidayat. Itu yang lelaki. Yang perempuan pulak Syikin, Arija, Linda, Rosmaiza, Ba'ah. Ramai lagi cuma aku yang lupa nama masing-masing.

Seingat aku, tahun inilah aku hidup dalam suasana yang sangat gembira. Mana tidaknya. Wahi ada bersama di dalam kelas aku. Sedar tidak sedar kami akhirnya tiba pada penghujung tahun persekolahan. Entah kenapa aku berasa sangat sedih mengenangkan akan perpisahan dengan Wahi. Mungkinkah kami akan berjumpa lagi. Apa pun walau di mana Wahi berada sekarang, aku doakan agar dia bahagia dunia & akhirat ameen..

Nurbahiah Binti Mat Zaki (Wahi)
6 Kenanga 1997

A.B.K
26 Ramadhan 1441H

Tuesday, May 12, 2020

DARJAH 5 - 5 KENANGA

Assalamualaikum..

Tidak banyak cerita yang aku ingati sepanjang sesi persekolahan dalam tahun ini. Namun kenangan menyertai unit beruniform pengakap sekolah cukup aku hargai & berbangga.

Dalam berkhidmat sebagai pengakap banyak kemahiran yang diajar. Di sinilah aku belajar asas ikatan, belajar kawad, masak roti lilit, masak telur dalam tanah, asas pertolongan cemas, catatan buku log, lencana kemahiran kendiri & kerjasama dalam satu pasukan.

Tahun ini aku agak aktif dalam pengakap. Aku jarang tinggal jika ada latihan pengakap mingguan. Aku juga pernah sertai perkhemahan di padang sekolah aku yang luas bersama adik aku Bedul yang juga ahli pengakap sekolah.

Kemuncaknya kami juga pernah menyertai perkhemahan peringkat daerah yang diadakan di sebuah pusat pupuk semangat berhampiran pantai peranginan terkenal daerah ini.

Sewaktu menyertai perkhemahan inilah aku cukup gembira & bahagia. Selain berkhemah di kawasan pasir pantai yang hangat siang harinya & malam yang dingin, aku duduk di keliling unggun api sambil mendengar cerita kawan-kawan. Namun ada satu peristiwa yang cukup aku ingati hingga sekarang.

Kisahnya agak dewasa jika mengikut pengelasan aku. Namun biarlah kisah ini aku pendam sebagai satu kenangan yang indah dalam memori seorang kanak-kanak berusia 11 tahun hahaha..

A.B.K
20 Ramadhan 1441H

Monday, May 11, 2020

DARJAH 4 - 4 KENANGA

Assalamualaikum..

Zaman darjah 4 ini banyak perubahan berlaku dalam kehidupanku di sekolah. Aku bertukar kelas dari Melur masuk Kenanga. Ramai kawan-kawan lama juga bertukar kelas. Boleh dikatakan tiada kawan yang masuk kelas Kenanga bersama dengan aku. Ada yang masuk kelas Seroja. Ada yang naik ke kelas Anggerik. Ada jugak yang kekal di kelas Melur. Aku bagaikan terkena kejutan budaya dengan pertukaran kelas ini. Moyok betul rasanya.

Namun dalam masa yang sama kesedihan aku sedikit terubat apabila adik aku yang lelaki dah masuk sekolah rendah. Jadi datang sekolah bersama, rehat bersama, balik sekolah pun bersama. Kehadiran Bedul(Adik aku) membuatkan aku rasa gembira.

Namun ada satu lagi episod gembira dalam hidup aku di sekolah. Satu hari guru kelas mengatakan ada budak baharu yang akan bersama dalam kelas Kenanga. Aku pada mulanya tidaklah ambil peduli sangat. Namun keesokan harinya sebaik melihat budak perempuan itu hati aku terpaut rasa dengan rupanya yang cantik tubuh sederhana memakai telekung bulat. Namanya Nur Bahiyah kami panggil dia Wahi sahaja.

Kedatangan Wahi menghilangkan keresahan hatiku. Semangat aku hendak ke sekolah berkobar-kobar. Betapa aku gembira bagaikan beroleh harta yang banyak. Aku semakin rajin membuat kerja sekolah kerana di dalam kelas kami, Wahi merupakan murid harapan guru. Dia pelajar yang pintar & cemerlang dalam setiap bidang baik kurikulum mahu pun ko-kurikulum.

Wahi ni jenis tidak sombong. Dia baik dengan semua orang. Pendek kata kehadirannya disenangi ramai pihak. Akan tetapi kerana keramahannya itu ramai budak lelaki dari kelas lain sentiasa lalu lalang di hadapan kelas aku. Orang lain aku tidak pasti tetapi bagi aku, mata aku tidak lekang perhatikan budak lelaki yang mundar mandir di tepi koridor kelas kami. Marah rasanya hati aku. Aku tahu mereka datang melihat Wahi.

Kisah Wahi ini aku ceritakan pada adik aku. Dialah teman setia yang sudi mendengar apa sahaja kisah yang aku ceritakan. Dia pernah tanya aku kenapa aku tidak berterus terang dengan Wahi. Aku diam seribu bahasa. Bagi aku, biarlah aku sahaja yang menyayangi Wahi dalam diam-diam. Wahi ini baik budaknya. Orang bijak & tidak sombong. Tambahan ayahnya seorang anggota polis, seram..

Bahagia rupanya tidak lama. Satu hari guru kelas mengumumkan Wahi akan berpindah ke Kuala Lumpur kerana mengikut ayahnya bertukar tempat kerja. Hancur rasanya hati aku. Lemah lutut tidak bermaya. Gelap pandangan mata. Aku menangis di dalam hati. Sedih, kecewa, marah bercampur baur.

Sejak pemergian Wahi ke Kuala Lumpur aku berubah. Dari seorang periang bertukar menjadi pemarah. Aku banyak membisu dari bercakap. Sejak itu aku mula suka bertumbuk di sekolah. Setiap hari ada sahaja aku bertumbuk dengan budak kelas lain. Di kantin, padang sekolah, dewan, dalam kelas usah ceritalah. Aku jadi seronok bertumbuk. Walau sering menangis kerana kesakitan esok harinya aku bertumbuk lagi. Kadang-kadang Bedul pun tumpang sekaki.

Satu hari Cikgu Zakaria guru disiplin panggil aku ke biliknya. Dia tanya kenapa aku suka bertumbuk di sekolah. Aku diam walaupun menggeliat sakit dirotan. Dia bagi aku amaran sekali lagi aku bertumbuk aku akan dibuang sekolah. Mendengar amaran itu aku mula kendur sedikit untuk bertumbuk. Walaupun diajak & diejek bertubi-tubi aku tetap diam membisu hinggalah tamat sesi persekolahan darjah 4.

A.B.K
19 Ramadhan 1441H

Sunday, May 10, 2020

DARJAH 3 - 3 MELUR

Assalamualaikum..

Naik darjah 3, aku tetap di kelas Melur. Guru kelas bernama Cikgu Khairul Anuar. Orang hensem berkulit putih berambut kerinting tubuh tinggi lampai. Gaya percakapan sangat bersopan & tidak pernah marah walaupun kadang-kadang perangai anak muridnya MasyaAllah!

Dalam darjah 3 inilah seingat aku satu peristiwa berlaku. Sewaktu aku berjalan menuju ke dewan tempat perhimpunan, aku lihat seorang budak yang bukan dari kelas aku sedang ditolak-tolak oleh budak lain. Budak itu budak Melayu. Yang menolak dia budak India 2 orang. Aku kenal budak India tersebut. Ada seorang lagi budak Cina yang turut serta dalam insiden tersebut. Pada mulanya aku hanya berlalu selamba kerana aku kenal budak India & Cina tersebut. Akan tetapi sebaik aku dengar budak Melayu itu menjerit kerana kolar bajunya dipegang oleh salah seorang budak India, entah bila masanya aku tidak sedar aku telah pun melepaskan tendangan ke arah budak India itu.

Dia cakap "Hei mu jangan masuk campur. Aku bahang mu jugak kan nanti!" Aku pun terajang dia sekali lagi hingga berbekas tapak kasut aku di seluar pendek budak India itu. Dia yang marah dengan aku terus menyuruh kawannya budak India & Cina menyerang aku. Belum sempat dia menyerang balas satu sergahan dari Cikgu Basri menyebabkan kami terkejut langsung terdiam. Kata Cikgu Basri "Mu nak tunjuk samseng ye mari sekolah! Takdok kerja lain dah selain gocoh!". Kerana insiden itu kami dibawa ke bilik disiplin & diberi amaran keras kali terakhir. Jika berlaku lagi kami akan dibawa mengadap guru besar. Ampun aku tidak berani mengenangkan guru besar kami Cikgu Fatimah Mohamed sangat garang orangnya. Sejak dari itulah aku tidak lagi bertegur sapa dengan budak India & Cina tersebut walaupun mereka sekelas dengan aku. Adoi!

A.B.K
18 Ramadhan 1441H