Saturday, May 9, 2020

DARJAH 1 - 1 MELUR

Assalamualaikum..

Aku mula bersekolah naik ke darjah 1. Kelas aku itu kelas 1 Melur. Seingat aku nama guru kelas Cikgu Zainun. Kelas aku itu kelas perpaduan kerana di dalam kelas kami ada bangsa Melayu, Cina & India. Namun apa yang aku ingin ceritakan bukan sekadar itu sahaja. Di dalam kelas, aku berkenan dengan seorang budak perempuan namanya Syamimi jika tidak salah. Bentuk muka bulat berkulit putih membuatkan aku suka memandang rupanya. Setiap hari aku pasti menantikan kedatangan dia di pintu kelas sebelum loceng pagi berbunyi untuk kami semua beratur di koridor bagi menyanyikan lagu Negaraku & mengaminkan doa pagi. Kebiasaannya sesi doa yang dikumandangkan melalui speaker sekolah dibaca oleh pengawas bertugas harian. Seingat aku pengawas yang masih aku ingati sampai sekarang namanya Azizi. Boleh dikatakan dia ini menjadi idola di sekolah waktu itu.

Berbalik pada kisah Syamimi tadi, budak ini berkawan pula dengan seorang budak perempuan namanya Aisyah. Aisyah ini kulitnya agak gelap sedikit berbanding Syamimi. Kerangka badan agak kasar memandangkan dia keturunan kacukan. Jadi memandangkan aku ini kurang berani nak mendekati Syamimi, maka si Aisyah inilah menjadi posmen aku untuk berhubung dengan Syamimi. Di dalam kelas aku selalu perhatikan Syamimi ni hingga kadang-kadang aku lagho apa yang diajar oleh cikgu di permukaan papan hitam. Teruk aku angau waktu itu.

Waktu rehat jika tidak makan nasi berlauk ayam goreng RM0.80 sen & air sirap RM0.20 sen, aku beli kacang hijau atau kuning harga RM0.10 sen. Paling top keropok air lada bersalut tepung harga RM0.10 sen bungkus dalam plastik bawa balik ke kelas. Walaupun kebanyakan kawan sibuk berlari main kejar-kejar, aku sibuk perhatikan buah hati aku si Syamimi. Walhal dia langsung tiada perasaan terhadap aku.

Hari pendidikan jasmani@PJ paling aku suka. Selepas sesi PJ, kami akan pergi ke bilik persalinan berhampiran kantin sekolah yang dilingkung dengan zink. Lelaki sebelah perempuan sebelah. Paling aku suka tengok Syamimi berpeluh lepas menyalin baju. Berminyak nampak mukanya. Semakin menyerlah keputihan kulitnya yang gebu itu. Hingga aku pernah disergah guru PJ kerana terlalu ralit memerhatikan Syamimi. Malunya aku nasib baik kawan ramai dah yang masuk kelas. Setiap hari tanpa mengenal jemu begitulah rutin harian aku hingga habis sesi persekolahan darjah 1.

A.B.K
17 Ramadhan 1441H

No comments:

Post a Comment