Zaman darjah 4 ini banyak perubahan berlaku dalam kehidupanku di sekolah. Aku bertukar kelas dari Melur masuk Kenanga. Ramai kawan-kawan lama juga bertukar kelas. Boleh dikatakan tiada kawan yang masuk kelas Kenanga bersama dengan aku. Ada yang masuk kelas Seroja. Ada yang naik ke kelas Anggerik. Ada jugak yang kekal di kelas Melur. Aku bagaikan terkena kejutan budaya dengan pertukaran kelas ini. Moyok betul rasanya.
Namun dalam masa yang sama kesedihan aku sedikit terubat apabila adik aku yang lelaki dah masuk sekolah rendah. Jadi datang sekolah bersama, rehat bersama, balik sekolah pun bersama. Kehadiran Bedul(Adik aku) membuatkan aku rasa gembira.
Namun ada satu lagi episod gembira dalam hidup aku di sekolah. Satu hari guru kelas mengatakan ada budak baharu yang akan bersama dalam kelas Kenanga. Aku pada mulanya tidaklah ambil peduli sangat. Namun keesokan harinya sebaik melihat budak perempuan itu hati aku terpaut rasa dengan rupanya yang cantik tubuh sederhana memakai telekung bulat. Namanya Nur Bahiyah kami panggil dia Wahi sahaja.
Kedatangan Wahi menghilangkan keresahan hatiku. Semangat aku hendak ke sekolah berkobar-kobar. Betapa aku gembira bagaikan beroleh harta yang banyak. Aku semakin rajin membuat kerja sekolah kerana di dalam kelas kami, Wahi merupakan murid harapan guru. Dia pelajar yang pintar & cemerlang dalam setiap bidang baik kurikulum mahu pun ko-kurikulum.
Wahi ni jenis tidak sombong. Dia baik dengan semua orang. Pendek kata kehadirannya disenangi ramai pihak. Akan tetapi kerana keramahannya itu ramai budak lelaki dari kelas lain sentiasa lalu lalang di hadapan kelas aku. Orang lain aku tidak pasti tetapi bagi aku, mata aku tidak lekang perhatikan budak lelaki yang mundar mandir di tepi koridor kelas kami. Marah rasanya hati aku. Aku tahu mereka datang melihat Wahi.
Kisah Wahi ini aku ceritakan pada adik aku. Dialah teman setia yang sudi mendengar apa sahaja kisah yang aku ceritakan. Dia pernah tanya aku kenapa aku tidak berterus terang dengan Wahi. Aku diam seribu bahasa. Bagi aku, biarlah aku sahaja yang menyayangi Wahi dalam diam-diam. Wahi ini baik budaknya. Orang bijak & tidak sombong. Tambahan ayahnya seorang anggota polis, seram..
Bahagia rupanya tidak lama. Satu hari guru kelas mengumumkan Wahi akan berpindah ke Kuala Lumpur kerana mengikut ayahnya bertukar tempat kerja. Hancur rasanya hati aku. Lemah lutut tidak bermaya. Gelap pandangan mata. Aku menangis di dalam hati. Sedih, kecewa, marah bercampur baur.
Sejak pemergian Wahi ke Kuala Lumpur aku berubah. Dari seorang periang bertukar menjadi pemarah. Aku banyak membisu dari bercakap. Sejak itu aku mula suka bertumbuk di sekolah. Setiap hari ada sahaja aku bertumbuk dengan budak kelas lain. Di kantin, padang sekolah, dewan, dalam kelas usah ceritalah. Aku jadi seronok bertumbuk. Walau sering menangis kerana kesakitan esok harinya aku bertumbuk lagi. Kadang-kadang Bedul pun tumpang sekaki.
Satu hari Cikgu Zakaria guru disiplin panggil aku ke biliknya. Dia tanya kenapa aku suka bertumbuk di sekolah. Aku diam walaupun menggeliat sakit dirotan. Dia bagi aku amaran sekali lagi aku bertumbuk aku akan dibuang sekolah. Mendengar amaran itu aku mula kendur sedikit untuk bertumbuk. Walaupun diajak & diejek bertubi-tubi aku tetap diam membisu hinggalah tamat sesi persekolahan darjah 4.
A.B.K
No comments:
Post a Comment