Sunday, May 10, 2020

DARJAH 2 - 2 MELUR

Assalamualaikum..

Naik darjah 2, aku masih lagi kekal di kelas yang sama iaitu kelas Melur. Pada ketika inilah aku mula mengenali rakan-rakan yang lain. Aku sedih kerana Syamimi terpaksa berpindah sekolah(Rujuk cerita Darjah 1). Namun kesedihan terubat sebaik aku mula pandai bergaul dengan kawan yang lain. Antara nama yang aku masih ingat budak lelaki Wafiuddin, Hadri, Rizal Razak, Rizal Rahim, Amer, Hafiz Razak, Teo Beng Seon, Tan Poi Kok, Lim Eng Hoe, Lee Tek Jian, David, Siva. Yang perempuan pula Salmiah Sulaiman, Safrina, Arija, Aisyah, Syikin, Linda, Tan Wei Yee, Liza, Syalini. Jika tidak salah guru kelas masa ini namanya Cikgu Zalina Ghazali.

Zaman ini aku mula mengenal nama guru-guru yang ada di sekolah pada masa itu. Antaranya Madam Ong Siew Bee, Madam Baleswari, Ustazah Norma, Ustazah Suriyati Fazma, Cikgu Abu Hassan Ali, Cikgu Basri, Cikgu Haslam, Cikgu Zubir, Cikgu Mubin, Cikgu Baharia. Guru Besar yang masih aku ingati namanya Puan Fatimah Mohamed.

Kehidupan dalam darjah 2 tidak banyak yang aku ingati melainkan kenangan bersama kawan-kawan yang aku sebutkan. Barangkali sikap aku yang memilih kawan menyebabkan aku tidak banyak berkomunikasi sesama sendiri melainkan apa yang perlu sahaja.

A.B.K
17 Ramadhan 1441H

Saturday, May 9, 2020

DARJAH 1 - 1 MELUR

Assalamualaikum..

Aku mula bersekolah naik ke darjah 1. Kelas aku itu kelas 1 Melur. Seingat aku nama guru kelas Cikgu Zainun. Kelas aku itu kelas perpaduan kerana di dalam kelas kami ada bangsa Melayu, Cina & India. Namun apa yang aku ingin ceritakan bukan sekadar itu sahaja. Di dalam kelas, aku berkenan dengan seorang budak perempuan namanya Syamimi jika tidak salah. Bentuk muka bulat berkulit putih membuatkan aku suka memandang rupanya. Setiap hari aku pasti menantikan kedatangan dia di pintu kelas sebelum loceng pagi berbunyi untuk kami semua beratur di koridor bagi menyanyikan lagu Negaraku & mengaminkan doa pagi. Kebiasaannya sesi doa yang dikumandangkan melalui speaker sekolah dibaca oleh pengawas bertugas harian. Seingat aku pengawas yang masih aku ingati sampai sekarang namanya Azizi. Boleh dikatakan dia ini menjadi idola di sekolah waktu itu.

Berbalik pada kisah Syamimi tadi, budak ini berkawan pula dengan seorang budak perempuan namanya Aisyah. Aisyah ini kulitnya agak gelap sedikit berbanding Syamimi. Kerangka badan agak kasar memandangkan dia keturunan kacukan. Jadi memandangkan aku ini kurang berani nak mendekati Syamimi, maka si Aisyah inilah menjadi posmen aku untuk berhubung dengan Syamimi. Di dalam kelas aku selalu perhatikan Syamimi ni hingga kadang-kadang aku lagho apa yang diajar oleh cikgu di permukaan papan hitam. Teruk aku angau waktu itu.

Waktu rehat jika tidak makan nasi berlauk ayam goreng RM0.80 sen & air sirap RM0.20 sen, aku beli kacang hijau atau kuning harga RM0.10 sen. Paling top keropok air lada bersalut tepung harga RM0.10 sen bungkus dalam plastik bawa balik ke kelas. Walaupun kebanyakan kawan sibuk berlari main kejar-kejar, aku sibuk perhatikan buah hati aku si Syamimi. Walhal dia langsung tiada perasaan terhadap aku.

Hari pendidikan jasmani@PJ paling aku suka. Selepas sesi PJ, kami akan pergi ke bilik persalinan berhampiran kantin sekolah yang dilingkung dengan zink. Lelaki sebelah perempuan sebelah. Paling aku suka tengok Syamimi berpeluh lepas menyalin baju. Berminyak nampak mukanya. Semakin menyerlah keputihan kulitnya yang gebu itu. Hingga aku pernah disergah guru PJ kerana terlalu ralit memerhatikan Syamimi. Malunya aku nasib baik kawan ramai dah yang masuk kelas. Setiap hari tanpa mengenal jemu begitulah rutin harian aku hingga habis sesi persekolahan darjah 1.

A.B.K
17 Ramadhan 1441H

Friday, May 8, 2020

FASA 1 - SEKOLAH RENDAH

Sejak kecil pantang lihat apa sahaja yang bercorak celoreng, hati aku akan berdebar & semangat akan berkobar serta-merta. Pandang askar melintas aku terdiam sambil kaku memerhatikan pergerakan askar tersebut sehingga ia berlalu pergi. Tengok gambar askar dalam buku, aku jadi ralit hingga tidak pedulikan lagi orang sekeliling. Dahulu kerap kali juga bila mengikut orang tua ke kedai atau pusing di bandar, mata aku akan melirik jika ada kedai buku atau gerai menjual buku di tepi jalan. Jika tiada aku usaha juga untuk melilau jika ada kedai pakaian yang menjual baju atau seluar bercorak celoreng. Dapat pandang pun kira dah puas hati. Dalam hatiku aku bertekad untuk menjadi askar bila dewasa nanti. Aku pasti boleh!

A.B.K
16 Ramadhan 1441H

SALAM PERKENALAN

Assalamualaikum..

Aku bukanlah seorang yang mahir dalam dunia penulisan maya ini. Namun kerana minat ingin merakamkan pengalaman hidup di zaman silam, aku gagahkan juga cuba bertatih di alam maya. Seperti judul blog ini, ternyata minat untuk menjadi seorang tentera cukup menebal dalam sanubari. Apa lagi bergelar tentera komando. Namun rezeki telah ditetapkan oleh Dia. Aku redha. Walau begitu naluri alami tidak pernah pudar. Serba sedikit aku coretkan kisah hidup aku yang hidup berpandukan naluri komando walau hakikatnya aku bukanlah seorang komando.

A.B.K
15 Ramadhan 1441H